
Kuala Lumpur, 30 April 2025 – UNITI Asia Link Sdn Bhd telah menganjurkan program “Majlis Pelancaran Ekspo ASEAN Mall Dan Taklimat Peluang Pebiayaan Eksport”. Program ini juga adalah merupakan salah satu daripada aktiviti bulanan UNITI Madani Entrepreneurship Centre yang berlangsung di Menara Arina UNITI, Kuala Lumpur. Program sehari ini disertai lebih 200 peserta usahawan, merangkumi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat korporat, bertujuan membantu usahawan menerokai pasaran Thailand. Ucapan alu-aluan disampaikan oleh YBhg. Tuan Haji Jamal Mohd Amin, Presiden UNITI Asia Group dan Pengarah ASEAN Mall Thailand.
Ucapan utama disampaikan oleh Tuan Hairuddin bin Maslan, Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Pelaburan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPKM), mewakili Tuan Khalid bin Ibrahim. Antara fakta penting yang disampaikan beliau ialah ASEAN kini merupakan blok ekonomi kelima terbesar dunia dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak USD 3.9 trilion. Malaysia mencatatkan jumlah eksport sebanyak RM1.4 trilion pada tahun 2023, di mana sektor PKS menyumbang 17.8% daripada nilai eksport Malaysia. Beliau turut menjelaskan KPKM menyediakan lebih 30 program pembangunan dan pembiayaan melalui lebih 10 agensi, memberi bantuan agensi kerajaan kepada usahawan untuk meneroka pasaran global. Model EMC (Export Management Company) juga diperkenalkan sebagai pemudah cara eksport kepada usahawan tempatan.

Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran dua ekspo penting iaitu ASEAN Halal Expo dan MAROI International Food Expo (MAROI). MAROI merupakan singkatan kepada frasa “Malay Aroi” (Malaysia Sedap), iaitu satu penjenamaan kolektif bagi mempromosikan produk makanan Malaysia di Thailand. Dalam ucapannya, Tuan Hairuddin turut menekankan peranan ASEAN Mall di Pattani sebagai pusat dagangan halal serantau yang memanfaatkan pasaran semula jadi di Selatan Thailand. Dengan populasi lebih 12 juta penduduk Melayu dwibahasa, kawasan itu dianggap sebagai pasaran semula jadi yang berpotensi besar bagi produk halal Malaysia.




Program ini diakhiri dengan taklimat daripada wakil-wakil agensi kerajaan dan industri seperti SME Bank, MATRADE, SME Corp, FAMA dan UNITI Asia Link Sdn Bhd. Kesemua taklimat memberi fokus kepada produk eksport halal utama – termasuk makanan RTE (Ready-To-Eat), RTC (Ready-To-Cook) dan produk siap dalam “Travel Pack”.
Sebagai penutup, UNITI menyeru usahawan yang berminat untuk menyertai ekspo yang dilancarkan agar menghubungi En. Omar di talian +60 11-3793 1722 atau melayari laman web unitiasialink.com untuk mendapatkan maklumat lanjut serta penyertaan.
